Menu

1

0 Comment

1.8 Batasan Kajian
• Penyelidik tidak mengetahui tahap pengetahuan sampel atau responden mengenai peta minda buzan.
• Sampel atau responden yang dipilih hanya terhad kepada pelajar tingkatan 4 sahaja dan tidak melibatkan semua pelajar yang mengambil mata pelajaran Sejarah dari tingkatan 1-5.
• Pelaksanaan atau pengedaran borang soal selidik tidak dapat dilakukan serentak kerana saiz sampel yang agak banyak dan sukar untuk dipantau.
1.9 Definisi Operasional
1.9.1 Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)
Kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) adalah satu keupayaan seseorang individu untuk mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam membuat penaakulan serta refleksi dalam menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berinovasi dan berupaya untuk mencipta sesuatu perkara baharu (Lembaga Peperikasaan Malaysia, 2013). Rajendran (2009), mendefinisikan KBAT sebagai lanjutan penggunaan minda bagi berhadapan dengan cabaran baru.
Selain itu, kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) ini juga melibatkan empat aras yang domain kognitif antaranya ialah : menganalisis, mengaplikasi, menilai dan mencipta (Suhaimi et.all, 2014).
i. Menganalisis: Proses yang melibatkan sesuatu bahan atau konsep yang besar dipecahkan kepada bahagian-bahagian kecil bagi memudahkan proses menghubungkaitkan. Dalam proses ini pelajar perlu membandingkan, menerangkan, menguji, menyiasat, membezakan, kategorikan dan identifikasikan.
ii. Mengaplikasikan: Suatu proses yang melibatkan pelajar untuk mengunakan prosedur pelaksanaan yang mana pelajar perlu menunjukkan, melengkapkan, meneliti, menggunakan dan menyelesaikan.
iii. Menilai : Proses ini melibatkan pelajar untuk membuat penilaian atau penghakiman berdasarkan kepada pemeriksaan dan kritikan. Proses ini memerlukan pelajar untuk menghakimi, mencadangkan , memilih, mengesyorkan dan menaksir sesuatu perkara.
iv. Mencipta : Proses ini merupakan aras yang tertinggi yang mana pelajar perlu mencantumkan pelbagai elemen-elemen yang telah diperolehi dan membentuk satu koheran dengan menjadikan elemen-elemen yang berlainan tersebut menjadi satu corak atau struktur baru yang mana ianya dihasilkan melalui penjanaan idea dan perancangan atau penghasilan.
Menurut Tee Tze Kiong (2013), pembelajaran KBAT menekankan konteks yang melibatkan kebolehan pelajar bagi menyelesaikan masalah serta membuat keputusan yang mana pelajar berkebolehan dalam membuat perbandingan, penilaian serta inferensi. Walaupun terdapat pelbagai definisi namun dalam kajian ini dapat disimpulkan bahawa KBAT adalah kemampuan pelajar dalam menghasilkan maklumat baharu dengan menghubungkaitkan maklumat yang telah diperoleh dengan keadaan masa kini yang mana pelajar dapat mengambil iktibar daripada peristiwa Sejarah yang lalu bagi meningkatkan daya fikiran serta kematangan dalam membuat analisis, menilai dan seterusnya merumuskan.

1.9.2 Peta Minda Buzan
Konsep asas peta minda menurut Buzan (2003), peta minda dibina berdasarkan struktur yang ringkas iaitu terdiri daripada warna, garisan, perkataan dan gambar rajah yang mana peta minda ini berfungsi untuk membantu dalam mengimbas semula maklumat dari otak manusia. Menurut Tee Tze Kiong (2013), dalam konsep peta minda buzan penghasilan nota-nota melalui teknik peta minda buzan adalah berdasarkan kriteria-kriteria yang lebih spesifik antaranya :
i. Imej berpusat
ii. Struktur keseluruhan
iii. Imej / kod dan simbol
iv. Kata kunci
v. Warna
vi. Maklumat tambahan; dan
vii. Penyambung antara idea bagi jejari Peta minda Buzan (konsep “buka” dan “alir”)
Peta minda juga merupakan suatu pembinaan yang dibuat di atas sehelai kertas, idea penting diletakkan di tengah-tengah sebagai pusat utama dan idea lain yang berkaitan dikembangkan di luar idea utama dengan menggunakan pusat kecil, garisan, bongkah, geometri, warna dan sebagainya. Selain itu, peta minda merupakan sebuah susunan grafik yang mengandungi maklumat-maklumat tertentu, ditulis secara ringkas tetapi padat (Haslina,2012).
Dalam kajian ini, peta minda buzan merujuk kepada kaedah pembelajaran yang dilihat dapat membantu dalam memudahkan proses penguasaan KBAT pelajar dalam mata pelajaran sejarah kerana pelajar untuk lebih mudah memahami sejarah melalui penggunaan imej berpusat, kata kunci, warna dan simbol yang mana akan dapat memudahkan sesuatu maklumat atau fakta untuk difahami dengan mudah melalui nota yang ringkas.

1.10 Kerangka Konseptual Kajian
Kerangka konseptual ini menerangkan hubungan antara penggunaan peta minda terhadap penguasaan KBAT pelajar dalam mata pelajaran sejarah. Penggunaan peta minda dalam proses pengajaran dan pembelajaran sejarah digunakan bagi membantu pelajar untuk menguasai fakta-fakta dan kronologi sejarah seterusnya membantu pelajar dalam menguasai KBAT.

Rajah 1.1 : Kerangka Konseptual Kajian

1.11 Rumusan
Bab 1 ini membincangkan pengenalan bagi beberapa aspek penting dalam kajian yang akan dijalankan. Dalam bab yang seterusnya pengkaji akan membincangkan teori-teori , model pembelajaran serta kajian-kajian lepas yang berkaitan.

BAB 2

SOROTAN LITERATURE

2.1 Pendahuluan
Bab 2 ini memfokuskan kepada penggunaan teori dan model yang bersesuaian bagi KBAT serta peta minda buzan dalam kajian ini. Selain itu, kajian-kajian lepas samada kajian dalam negara mahupun kajian luar negara juga turut dinyatakan di dalam bab 2 bagi menyokong kajian yang bakal dilaksanakan ini.

2.2 Teori dan Model Untuk KBAT
2.2.1 Teori Pembelajaran Kognitif(KBAT)
Dalam Kemahiran berfikir aras Tinggi (KBAT), teori yang boleh dikaitkan adalah teori pembelajaran kognitif. Menurut Haslina (2012), teori pembelajaran kognitif ini merujuk kepada perubahan tingkah laku seseorang kesan daripada proses pembelajaran yang diperolehinya. Menurut Ayob (2005), teori pembelajaran kognitif ini melibatkan proses pemerolehan dan penyusunan semula struktur kognitif kepada bentuk-bentuk yang lebih bermakna dan mudah diingat oleh seseorang.
Teori ini juga memberikan penekanan bahawa maklumat yang berada di dalam minda akan sentiasa diproses dan diadaptasi apabila wujudnya maklumat baru yang diterima dan proses ini dinamakan proses pembelajaran. Dalam kitaran ini, maklumat baru yang diterima akan digunakan dan akan menjadi kekal serta disimpan dalam ingatan jangka masa panjang dan sekiranya maklumat tersebut diperlukan semula makan ianya akan dikeluarkan semula dan dibawa ke ingatan aktif bagi tujuan digunakan semula (Haslina, 2012). Selain itu, menerusi teori ini juga minda dan pemikiran individu akan sentiasa berkembang dan berubah hasil daripada penyerapan dan penyimpanan maklumat baru.
2.2.2 Model Taksanomi Anderson (KBAT)
Dalam fokus kajian ini, teori yang akan digunapakai ialah teori taksanomi Anderson yang mana memperlihatkan aras-aras kemahiran berfikir iaitu dari aras rendah ke aras yang lebih tinggi. Bagi membantu pelajar untuk menguasai kemahiran berfikir aras tinggi, maka kemahiran berfikir hendaklah diterapkan yang mana dari aras yang mudah ke aras yang lebih tinggi.
Kemahiran berfikir aras rendah meliputi pengetahuan, kefahaman dan aplikasi, manakala kemahiran berfikir aras tinggi pula merangkumi analisis, sintesis dan penilaian(Tee Tze Kiong, 2009). Walau bagaimanapun, rujukan semula ke atas Taksonomi Bloom telah dilakukan oleh pelajar Bloom iaitu Anderson dan rakannya Krathwohl pada tahun 2001. Terdapat beberapa perubahan yang signifikan berdasarkan rujukan semula yang dilakukan.
Terdapat enam kemahiran berfikir dengan merujuk kepada domain kognitif dalam jadual taksonomi baru iaitu mengingat, memahami, mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mereka. Perbezaan utama dalam taksonomi versi terbaharu ini adalah merujuk kepada bagaimana jadual taksonomi bersilang dan berfungsi ke atas pelbagai jenis aras pengetahuan iaitu fakta, konsepsual, prosedur dan metakognitif (Tee Tze Kiong, 2009).
Taksonomi Bloom telah dirujuk semula oleh bekas pelajarnya Lorin Anderson dan kerjasama dengan rakannya David Krathwohl. Kumpulan ini memurnikan konsep asal Bloom antara tahun 1995 hingga 2000. Kumpulan ini ditubuhkan oleh Anderson dan Krathwohl dengan melibatkan pakar-pakar dari bidang psikologi kognitif, kurikulum dan pengajaran serta pengujian, pengukuran dan penilaian pendidikan (Anderson et al., 2001). Jadual 1 menunjukkan dimensi proses kognitif. Berikut merupakan aras-aras dalam taksanomi anderson.
Kemahiran Berfikir Aras Rendah
Aras 1
1. Mengingat
Merujuk pada kemampuan untuk mengimbas kembali pengetahuan yang berkaitan menerusi ingatan jangka panjang. Contohnya, anda berupaya menyenaraikan kesemua warna pelangi setelah guru Sains anda mengajar anda. Hal ini menunjukkan bahawa anda mengingat apa yang telah diajar oleh guru Sains anda. Menurut Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), kata tugas adalah suatu kata kerja yang berfungsi untuk mengarah dan memandu calon agar memberikan respon yang sejajar dengan soalan tugasan.
Aras 2
2. Memahami
Aras memahami merujuk pada kemampuan untuk membentuk pemahaman daripada pengajaran termasuk secara lisan, bertulis atau grafik. Hal ini menunjukkan bahawa anda telah memahami konsep kitaran hujan yang diajar guru. Aras ini memberikan pelajar peluang untuk menjelaskan pemahaman tentang sesuatu topik atau cerita.
Aras 3
3. Mengaplikasi
Aras mengaplikasi Merujuk pada kemampuan untuk menjalankan atau menggunakan sesuatu prosedur dalam situasi tertentu. Aras ini membekalkan pelajar dengan peluang untuk menggunakan maklumat yang dibaca dari petikan ke atas situasi berlainan.
Kemahiran Berfikir Aras Tinggi
Aras 4
4. Menganalisis
Aras menganalisis merujuk pada proses menceraikan bahan atau konsep kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil, mengenal pasti bagaimana bahagian-bahagian kecil ini berhubung antara satu sama lain atau struktur mahupun tujuan secara keseluruhan.
Aras 5
5. Menilai
Aras menilai merujuk pada proses membuat penilaian berdasarkan kriteria atau piawaian tertentu. Aras ini membekalkan pelajar dengan peluang untuk menghasilkan
pendapat berdasarkan keputusan rasional.
Aras 6
6. Mereka
Aras mereka merupakan kebolehan menggabungkan elemen-elemen bersama untuk membentuk suatu yang saling berkait atau berfungsi sebagai satu; pengorganisasian semula elemen-elemen kepada suatu pola atau struktur yang baru. Aras ini membekalkan pelajar dengan peluang untuk menggabungkan bahagian-bahagian kecil untuk menghasilkan idea baru atau mencipta produk baru.

2.3 Teori / Model Untuk Peta Minda Buzan
2.3.1 Teori Pembelajaran Konstruktivisme (Peta Minda Buzan)
Pushpalatha (2006) menyatakan bahawa Teori Konstruktivisme adalah teori yang penting dalam menggalakkan perkembangan minda murid. Hal ini kerana menerusi teori ini guru memainkan peranan penting dalam memastikan atau mewujudkan persekitaran yang boleh menggalakkan penglibatan murid yang aktif dalam sesi pembelajaran dan pengajaran dan pada masa yang sama meransang minda pelajar untuk berfikir. Oleh itu, melalui penggunaan bahan rangsangan yang diwujudkan oleh guru seperti penggunaan peta minda buzan dalam sesi pembelajaran dan pengajaran dalam kelas maka proses penjanaan pemikiran murid (KBAT) dapat dicapai apabila murid dapat berfikir berdasarkan bahan ransangan iaitu peta minda buzan.
Aysegul Seyihoglu dan Ayca Kartal (2010) mendefinisikan konstruktivisme sebagai satu proses berkenaan dengan membina maklumat yang mana maklumat baru yang dibina adalah berdasarkan kepada pengetahuan dan pengalaman yang telah dilalui oleh seseorang individu itu sendiri. Dalam konteks ini, guru tidak boleh memindahkan sepenuhnya persepsi atau pengetahuan guru kepada pelajar kerana guru dan pelajar tidak mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang serupa. Kaedah konstruktivisme ini akan membantu pelajar untuk membangunkan kemahiran berfikir aras tinggi secara langsung.
Berdasarkan kepada teori pembelajaran konstruktivisme juga sesuatu ilmu pengetahuan atau maklumat tidak boleh dipindahkan daripada guru kepada pelajar secara tabula rasa. Dalam hal ini pelajar perlu membina pengetahuan sendiri berdasarkan pemahaman yang telah diperoleh berdasarkan proses pengajaran dan pembelajaran yang dialaminya (Ayob, 2005). Oleh hal yang demikian, sesuatu pengetahuan yang telah diperoleh oleh seseorang adalah bergantung kepada pandangan, kepercayaan serta pengalaman individu itu sendiri terhadap perkara tersebut (Haslina, 2012).
Menurut Ahmad (2002), teori pembelajaran konstruktivisme ini juga menyatakan bahawa pelajar perlu membina ilmu pengetahuan yang diperoleh serta menjadikan pengetahuan itu lebih bermakna berdasarkan kepada pengalaman sendiri melalui proses aktif dalam otak. Oleh hal yang demikian, maka pemahaman dan ilmu pengetahuan baru yang diperoleh adalah bergantung pada cara ianya dibentuk dalam minda pelajar.
Melalui teori pembelajaran konstruktivisme ini juga menekankan bahawa pelajar dikehendaki untuk membina pengetahuan sendiri atau konsep berdasarkan daripada pengetahuan sedia ada dan tidak hanya menerima maklumat secara pasif dari persekitaran. Selain itu, melalui teori ini para guru tidak akan memberikan nota secara berterusan kepada pelajar namun pelajar itu sendiri perlu menjana sendiri ilmu baru berdasarkan kepada ilmu pengetahuan yang telah diberikan kepadanya. Menurut Nair dan Muthiah (2005), teori pembelajaran konstruktivisme ini akan membantu dalam menggalakkan pelajar untuk membina konsep pengetahuan sendiri dengan menghubungkaitkan perkara yang dipelajari dengan pengetahuan sedia ada.
Menurut Progrow(2005), satu bahagian yang penting dalam kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) adalah konstruktivisme yang mana jika dilihat melalui peta minda buzan ini pelajar dalam membina pengetahuan baru berdasarkan kepada pengetahuan yang telah diperoleh. Penggunaan peta minda buzan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran akan dapat memberikan gambaran kepada pelajar dan membantu pelajar dalam menghubungkaitkan perkara yang dipelajari dengan pengetahuan sedia ada maka dengan ini KBAT dalam sejarah akan dapat dicapai oleh pelajar.
2.3.2 Model Pembelajaran Ekspositori (Peta Minda Buzan)
Menurut Haslina (2012), model pembelajaran ekspositori ini menekankan bahawa guru hendaklah memberikan penerangan kepada pelajar dalam fakta yang tersusun dan lengkap bagi memudahkan pelajar untuk memahami apa yang telah disampaikan oleh guru. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, peranan guru dilihat sangat penting yang mana para pelajar hendaklah mendengar penerangan daripada guru terlebih dahulu bagi memudahkan pelajar untuk memahami dan mengingati fakta yang telah disampaikan oleh guru dan seterusnya dapat merekodkan isi-isi penting.
Pengaplikasian model pembelajaran ekspositori dalam proses pengajaran dan pembelajaran sejarah akan dapat membantu guru dalam menjimatkan masa serta menjadikan sesi pengajaran dan pembelajaran lebih efektif. Hal ini kerana dalam proses guru menyampaikan isi pelajaran, pelajar boleh mencatat nota ringkas berdasarkan pemahaman yang lebih berstruktur dan teratur.